YANG SEBUT PGA BANTU POLIS, MEH BACA NI

Nampaknya masih ada segelintir lagi ahli media dan wartawan tak cakna tentang Pasukan Gerakan Am (PGA) yang merupakan sebahagian dari elemen tempur dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan berceloreng serba hijau dan beret berlambangkan harimau berwarna kuning banyak media melaporkan tajuk yang missleading tentang PGA sehingga ramai menyangka ia bukan sebahagian daripada panji Sang Saka Biru.



Dikenali dengan nama Pasukan Polis Hutan (PPH) sebelum ini, PGA yang dijenamakan semula dan diletakkan di bawah lembayung Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) nyata menyimpan rentetan perjuangan yang panjang sejak era insurgensi menentang pengganas Komunis satu ketika dulu.

 

Apa yang membezakan anggota PGA dengan Polis biasa ialah kemahiran peperangan hutan yang mereka miliki. Dengan kursus intensif selama 3 bulan, PGA adalah Polis yang memiliki asas ketenteraan sebagai pasukan infantri.

Selain itu mereka juga boleh ditugas dan dipertanggungjawabkan sebagai anggota Polis biasa sekiranya diperlukan oleh keadaan.

Kalau dulu bergerak dalam hutan namun kini mereka lebih khusus dalam penugasan kawalan sempadan meliputi persisiran pantai Johor, Selangor, Sabah, Sarawak dan juga kawalan sempadan Perlis dan Kedah bagi tujuan cegah rintang terhadap aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.



Mereka juga bertindak secara efektif untuk mengawal rusuhan di kawasan bandar melalui unit Public Order and Riot Unit (PORU) dan lain-lain operasi serbuan yang bersifat urban warfare (OBUA).

Selain itu mereka juga bertindak sebagai pasukan simpanan kepada Ketua Polis Negara dalam menghadapi semua jenis ancaman ketenteraman awam, aktiviti subversif, keganasan dan pemberontakan bersenjata.

Oleh itu mereka berkebolehan untuk digerakkan dalam belbagai bentuk muka bumi dan situasi untuk melaksanakan tugas ‘insurgensi wallfare’, pertempuran jarak dekat serta mahir dalam peperangan gerila.

Stuktur pemerintahan, kelengkapan dan persenjataan PGA adalah mirip dengan pasukan Tentera dimana mereka dipecahkan dan ditakbir oleh 5 Briged utama yang memiliki kekuatan 21 Batalion infantri.

Setiap satu Batalion pula berkekuatan sekitar 500 anggota termasuklah satu Platun Mesingan dan Platun Mortar. Selain itu mereka juga memiliki unit Komando tersendiri yang dikenali sebagai Tiger Platoon bersama satu Skuadorn Kereta Perisai bagi setiap Batalion dan Briged.



Antara penglibatan anggota PGA dalam operasi keselamatan negara termasuklah Insurgensi menentang Komunis, konfrontasi Indonesia-Malaysia, Ops Bamboo, Ops Fajar, Ops Daulat di Lahad Datu, misi menyelamat mangsa Tsunami di Acheh dan sebagai Pasukan Pengaman di Timor Leste di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Harus diingat bahawa PGA punyai sejarah dan sumbangan yang cukup besar pada negara. Mereka memainkan peranan penting sebagai elemen tempur dan juga elemen sokongan dalam membantu menangani masalah ketenteraman awam.

Dari itu cukup-cukuplah memalukan PGA dengan kenyataan dangkal yang menyatakan PGA bantu Polis kerana hakikatnya mereka sendiri adalah anggota Polis.

#PDRM
#PGA
#PORU
#TigerPlaton

Penulisan – Mohd Hairol



(Visited 1,341 times, 1 visits today)