KUALA LUMPUR: Enam kakitangan stesen penyiaran Al Jazeera bersama tujuh peguam hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan, hari ini.
Kesemua mereka tiba di Bukit Aman jam 8.50 pagi tadi untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Difahamkan, enam kakitangan itu terdiri daripada penerbit, editor, wartawan dan jurukamera serta mereka yang terbabit dalam menerbitkan dokumentari kontroversi “Locked Up In Malaysia’s Lockdown”.
Semalam, polis memaklumkan memanggil empat saksi daripada pihak Al Jazeera untuk hadir memberi keterangan berhubung isu dokumentari berkenaan pada jam 10 pagi.
Bagaimananapun, enam kakitangan bersama tujuh peguam hadir ke Bukit Aman lebih awal hari ini daripada masa ditetapkan oleh pihak polis, dipercayai untuk mengelak liputan media.
Siasatan terhadap media antarabangsa Al Jazeera yang membuat laporan tidak tepat menerusi satu dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika mengekang pandemik COVID-19, sudah dimulakan polis sejak 10 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sebelum ini dilaporkan berkata, laporan yang tidak berasas dan berat sebelah itu jelas menimbulkan kegusaran dan kebimbangan majoriti rakyat negara ini serta menimbulkan kemarahan pemimpin negara.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
– BERITA HARIAN –