Warga asing menyamar polis samun pendatang

SHAH ALAM: Dua lelaki warga asing ditahan selepas didapati menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing lain di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata penahanan dua lelaki warga Pakistan dan Bangladesh itu pada minggu lalu, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek dikesan menyamar sebagai anggota polis sebelum menahan mangsa dan meminta pengenalan diri mereka sebelum dibawa menaiki kereta dan ditinggalkan di tepi jalan selepas semua barang berharga disamun.

“Pada 20 Julai lalu, polis menahan suspek pertama, warga Pakistan berusia 32 tahun di Kota Kemuning, dekat sini jam 3 petang, berdasarkan maklumat diterima dari mangsa samun (warga Bangladesh) pada 17 Julai lalu.

“Ketika tangkapan, beberapa barang kes termasuk ves tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), dompet, mata wang asing, alat kawalan jauh dan telefon bimbit milik mangsa, juga dirampas.

“Hasil siasatan terhadap suspek pertama, polis menahan pula suspek kedua warga Bangladesh pada jam 9 malam hari sama di Pandamaran,” katanya.

Shafien berkata, polis juga sedang menyiasat kedai yang menjual ves PDRM itu kerana pakaian itu barang kawalan.

“Suspek kini diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk disiasat bagi kes samun di kawasan terbabit.

“Kami masih mengesan saki baki kumpulan ini dan kenderaan yang digunakan suspek juga dilaporkan dicuri di Klang.

“Pasport kedua-dua suspek sudah dihantar ke Jabatan Imigresen Selangor untuk mengetahui statusnya sama ada sah atau sebaliknya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.