1. *Pada pandangan Tunku, wajarkah seorang Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah?*
Jawapan : Dalam sebuah demokrasi berparlimen dengan pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan, seorang ketua eksekutif tidak boleh masuk campur urusan judisiari.
2. *Pada pandangan Tunku, apa impak serta pandangan dari negara luar sekiranya seorang Perdana Menteri sesebuah negara mencampuri urusan legislatif/mahkamah?*
Jawapan : Sekiranya seorang Perdana Menteri mencampuri urusan judisiari (kehakiman), maka negara lain tidak akan punya keyakinan kepada kredibiliti negara. Pada pandangan mereka, negara sebegini tiada kedaulatan undang-undang (rule of law).
3. *Kenapa seorang Perdana Menteri tidak boleh/boleh mencampuri urusan mahkamah?*
Jawapan : Untuk pemerintahan sesebuah kerajaan yang tersusun, setiap cabang kerajaan—eksekutif, legislatif dan judisiari—perlu diasingkan. Dalam sistem westminster yang Malaysia warisi, ada pertindihan keahlian eksekutif dan legislatif, tetapi kuasa keduanya berbeza dan berasingan. Setiap cabang tidak boleh masuk campur urusan cabang yang lain.
4. *Boleh bagi pandangan peribadi Tunku apa agaknya persepsi rakyat sekiranya seorang Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah?*
Jawapan: Rakyat akan menganggap Perdana Menteri yang sebegini sebagai mementingkan diri sendiri dan pengekalan kuasanya saja.
5. *Jika seseorang Perdana Menteri itu tidak mencampuri urusan mahkamah, adakah rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada beliau?*
Jawapan: Sekurang-kurangnya rakyat tahu Perdana Menteri sebegini hormat undang-undang. Kepercayaan kepada seorang pemimpin itu tidak hanya bergantung kepada satu tindakan betul.
6. *Dari segi politik, jika seorang Perdana Menteri itu mencampuri urusan mahkamah, adakah rakyat akan terus mempercayai parti dan kerajaan dari Perdana Menteri itu?*
Jawapan: Rakyat tidak percaya. Tapi rakyat juga tidak punya kesedaran tinggi terhadap isu yang rumit untuk difahami, apatah lagi jika ianya adalah mainan persepsi.
7. *Adakah ia akan memberi persepsi buruk kepada parti sekiranya parti menggunakan sosok seorang Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah?*
Jawapan: Parti yang Perdana Menteri wakili akan hilang hormat dan percaya kepada seorang Perdana Menteri yang mencampuri sesuatu yang bukan dalam bidang kuasanya. Parti akan jadi lemah dan orang di luar parti akan hilang hormat kepadanya.
*Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar*
*Penolong Professor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA)*