Wajarkah hukuman ahli kongsi gelap dipinda?

KUALA LUMPUR: Keputusan Timbalan Pendakwa Raya meminda pertuduhan ke atas 57 ahli kumpulan Geng 360 Kajang Devan, di Kompleks Penjara Kajang semalam dianggap mengejutkan.

Ini kerana tuduhan terhadap kesemua ahli Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) terbabit yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) secara tiba-tiba dipinda kepada Akta Pertubuhan, membawa hukuman yang dianggap jauh lebih ringan.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Geng 360 Kajang Devan, sebelum ini ditahan kerana terbabit dalam beberapa siri kes pembunuhan, memiliki senjata api, pengedaran dadah, pemerasan serta culik.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata kumpulan Geng 360 Kajang Devan adalah kumpulan yang tidak pernah berdaftar kerana mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah serius.
“Saya tidak rasa ada KJT seperti Geng 360 Kajang Devan ini yang pernah mendaftarkan diri dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selepas mereka hanya terbabit dalam kegiatan peras ugut, dadah, culik dan bunuh.
“Mereka (ahli Geng 360 Kajang Devan) melakukan jenayah serius dan wajar dikenakan hukuman yang sepatutnya berdasarkan jenayah yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata sepatutnya mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar saja wajar dikenakan tindakan mengikut Akta Pertubuhan sekiranya mereka dikesan melakukan kesalahan
“Kalau diikutkan, peruntukkan undang-undang paling sesuai sekarang yang digubal Parlimen sebelum ini berdasarkan tindakan kumpulan terbabit (360 Kajang Devan) adalah mengikut peruntukan Kanun Keseksaan.
“Justeru, sebagai langkah susulan paling tepat, PDRM perlu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi dalam mempertahankan tindakan mereka melaksanakan penguatkuasaan SOSMA terhadap semua kumpulan kongsi gelap atau jenayah terancang sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, berkata tindakan terhadap KJT itu sewajarnya diteruskan kecuali ada sebab-sebab munasabah kenapakah pertuduhan SOSMA itu ditukarkan kepada Akta Pertubuhan.
“Jikalau tidak ada cacat-cela dengan tindakan pertuduhan di bawah SOSMA maka hukuman terhadap ahli Geng 360 Kajang Devan itu harus diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, kenapa pula pertuduhan ini hendak diubah.
“Justeru, sekiranya ada sesuatu sebab dan alasan yang wajar mengapa tindakan polis ke atas semua KJT sebelum ini mengikut SOSMA perlu ditukar maka saya akan bersetuju dengan pindaan hukuman semalam,” katanya.
Katanya, jika semua ahli Geng 360 Kajang Devan ini dilepaskan dengan tindakan SOSMA dan menerima hukuman yang lebih ringan maka beliau merasakan ia adalah amat malang sekali.
Berdasarkan rekod Geng 360 Kajang Devan ini dikesan terbabit dalam banyak siri kes penculikan di sekitar Lembah Klang dan pembunuhan termasuk kes tembak Ketua Kumpulan Satu Hati, Kanna, di Danau Kota, Setapak, pada 27 Julai 2016.
Selain itu Geng 360 Kajang Devan turut terbabit dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah selain memiliki senjata api selepas pihak polis merampas satu raifel, lapan pistol serta ratusan peluru semasa serbuan ke atas kumpulan berkenaan.
Malah semua mereka yang ditahan di bawah SOSMA KJT sebelum ini disiasat, disaring dan ditapis kesalahan mereka sebelum dihadapkan ke proses pertuduhan.
Semalam, seramai 42 daripada 57 ahli Geng 360 Kajang Devan mengaku salah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mereka menerima hukuman penjara selama setahun manakala 14 lagi memohon untuk dibicarakan dan seorang dilepas tanpa dibebaskan.
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu tuduhan terhadap 442 individu yang ditahan mengikut SOSMA mungkin dipinda selepas Peguam Negara Tommy Thomas sudah menyatakan persetujuan mengenai perkara itu.
– Berita Harian – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.