KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan dalaman berhubung video tular dalam media sosial menunjukkan anggota polis menendang seorang suspek berhampiran Tasik Ampang Hilir, di sini, semalam.
Siasatan dalaman itu bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku ketika proses tangkapan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai ataupun anggota yang didapati melanggar SOP ketika menjalankan tugas.
“Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sedang menjalankan tugas pemantauan keselamatan dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar kawasan Jalan Genting Klang.
“Ketika menjalankan rondaan di hadapan stesen minyak di Jalan Genting Klang, dua lelaki dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Polis bertindak mendekati dan cuba menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut. Namun, suspek tidak mengendahkan arahan untuk berhenti dan terus memecut laju menuju ke Jalan Ampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, polis mengejar motosikal terbabit sambil mengarahkan supaya berhenti tetapi kedua-dua suspek tetap tidak mengendahkannya dan menunjukkan isyarat tangan seolah-olah mencabar.
“Perbuatan suspek itu bukan hanya membahayakan diri mereka, malah turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Sebaik saja tiba di susur keluar Jalan Ampang berhampiran Tasik Ampang Hilir, suspek menunggang melawan arus sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya.
Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek turut bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan polis sebelum salah seorang berjaya ditahan, manakala pembonceng dapat melepaskan diri dengan terjun ke dalam longkang besar di tepi jalan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif syabu dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mazlan berkata, suspek juga didapati memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan narkotik dan dikehendaki berhubung kes pecah rumah di Ampang.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 5 Jun untuk membantu siasatan lanjut.
“Justeru, Polis Kuala Lumpur meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk segera menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan G Stephen melalui talian 016-376 7739 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan S Jeganathan, menerusi talian 019-931 5851, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
– Berita Harian –