Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

Video Semburit: Haziq dipecat dari jawatan di Kementerian Industri Utama

PUTRAJAYA: Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku lelaki dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri, ditamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Kementerian Industri Utama, dalam satu kenyataan, berkata penamatan perkhidmatan itu berkuat kuasa 18 Jun lalu, susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang turut dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.



“Pihak kementerian memandang perkara ini sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Sehubungan itu, kementerian mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019,” katanya.

Kementerian Industri Utama, dalam kenyataan sama menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perilaku yang menjejaskan reputasi dan imej kementerian.



“Berikutan penamatan ini, pihak kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq,” katanya.

Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 13 Mei lalu dan dia kemudian menjawab surat tunjuk sebab susulan kes berkenaan pada 14 Jun lalu.

Surat tunjuk sebab dikeluarkan pada 12 Jun selepas Haziq membuat pengakuan sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang viral di laman sosial.

Kelmarin, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Tan Yew Chong, dilaporkan berkata keputusan mengenai kedudukan Haziq akan ditentukan oleh Shamsul Iskandar.



Difahamkan, antara jawapan dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia kemurungan berikutan penularan video berkenaan dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.

Pada 13 Jun, Shamsul Iskandar, pada sidang media khas dilaporkan berkata surat itu dikeluarkan atas beberapa sebab, antaranya kerana syarat dalam kontrak Haziq turut menyentuh soal tindakan yang boleh mencemarkan nama kementerian.

Haziq juga boleh dianggap ponteng kerja kerana tidak hadir bertugas sejak video pengakuannya tersebar.

– BERITA HARIAN –



(Visited 91 times, 1 visits today)