Video intim: Haziq, lima individu direman enam hari

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dalam isu video intim dengan seorang lelaki yang didakwa mirip seorang Menteri Kabinet ditahan polis, semalam.

Haziq ditahan bersama lima lagi lelaki berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun di sekitar Lembah Klang dalam tangkapan berasingan bermula jam 6 petang sehingga 10 malam.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dalam konspirasi merakam video intim berkenaan.

“Kesemua mereka direman selama enam hari sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet.



Haziq Abdullah, 27, memuat naik video pengakuan itu berdurasi 30 saat itu di akaun Facebooknya dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat.

Haziq berkata, perlakuan itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan.

– Sinar Harian –