[UPDATE] Mayat belakang rumah polis

JOHOR BAHRU: Timbunan tanah merah di belakang rumah seorang anggota polis berpangkat lans koperal di Bandar Baru, Putera Indah Tongkang Pechah, Batu Pahat, merungkai kehilangan seorang lelaki sejak 18 Mac lalu apabila pemeriksaan menemui mayat lelaki itu, petang kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan penahanan anggota itu dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.

“Saya confirmkan (mengesahkan) memang ada kes itu yang mana kita (pihak polis) jumpa mayat dan ada anggota polis ditahan.



“Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas anggota mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine ketika tangkapan dilakukan.

“Dia masih bertugas dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai kes lampau dan beberapa kes bawah pemerhatian kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketika ditanya berkaitan penemuan mayat lelaki itu, Mohd Khalil berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya belum mengenal pasti punca kematiannya.

“Yang mati itu sama ada overdose atau tidak, kena tunggu post morterm (proses bedah siasat) dan laporan dikeluarkan doktor.



“Selain itu, ketika kejadian sama ada dia (individu ditahan) sedang bertugas atau tidak, saya belum tahu. Kena periksa dahulu.

“Apa pun rumusannya, kami masih menunggu laporan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Difahamkan, polis Batu Pahat turut mendapatkan bantuan pasukan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi membantu siasatan.

Mangsa berusia 37 tahun dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Tambak Mukim 3, di Peserai, Batu Pahat.



Isteri mangsa melaporkan kehilangannya pada 22 Mac selepas mendapati suaminya itu tidak pulang ke rumah atau rumah ibu mentuanya sejak 18 Mac lalu.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan pemeriksaan di rumah suspek kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Pasukan polis melakukan serbuan sebelum menemui timbunan tanah merah di belakang rumah dan pemeriksaan membawa kepada penemuan satu mayat.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 7:30 AM
– Harian Metro –