UMNO Kekal Sokong PN, Bincang Isu TPM

KUALA LUMPUR- Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN), dan meminta semua menteri UMNO bekerja keras mempastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Bagaimanapun SuaraTV difahamkan, sebahagian besar perbincangan didalam mesyuarat selama 4 jam malam tadi, berkisar kepada isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.

MT UMNO membuat keputusan sebarang tawaran sebagai TPM harus diberi keutamaan kepada Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Untuk rekod setakat hari ini, tiada tawaran daripada Perdana Menteri kepada UMNO untuk jawatan tersebut.

Namun MT UMNO membuat keputusan semua anggota Kabinet UMNO beriltizam untuk terus kekal dalam kerajaan dan menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

Ahmad Zahid juga memberitahu, UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Selain itu, katanya, UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

“UMNO juga ingin mengulangi dengan jelas sekali lagi bahawa kami menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan.

“UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada Kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan (frontliners) dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara,” katanya.

CLICK GAMBAR UNTUK WHATSAPP!

Menurut Presiden UMNO itu, parti akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

“Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

“Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalkan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat,” tegasnya.

Sumber – Suara Tv