UGUT SEBAR VIDEO LUCAH, REMAJA 13 TAHUN DITAHAN

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas dikatakan mengugut untuk menyebar gambar dan video lucah seorang remaja perempuan seusia dengannya di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim, berkata pelajar lelaki itu ditahan pada jam 6.35 petang semalam susulan laporan polis dibuat remaja perempuan berkenaan pada Jumaat.

Beliau berkata, remaja perempuan itu yang juga pelajar tingkatan satu sebuah sekolah swasta di Kelana Jaya, Petaling Jaya mula berkenalan dengan remaja lelaki itu melalui laman sosial WeChat sejak Mac lalu.

“Sejak itu mangsa sering berhubung melalui WeChat dan WhatsApp dengan suspek. Pada Mei lalu, suspek dikatakan memaksa pengadu (mangsa) untuk menghantar gambar lucah kepadanya.

“Pada pertengahan Jun lepas, suspek sekali lagi memaksa pengadu menghantar video dengan berkelakuan lucah. Suspek mengugut akan menyebarkan gambar dan video (yang dihantar sebelum ini) ke laman sosial apabila pengadu tidak lagi menghubungi dan melayannya selepas peristiwa itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, oleh kerana bimbangkan keselamatannya, pelajar perempuan itu membuat laporan polis. Bertindak dari laporan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, katanya dan menambah suspek direman selama tiga hari. Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.