Tun M sahkan tiada pemakluman peletakan jawatan Agong

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan
pihaknya tidak mendapat sebarang pemakluman berkaitan peletakan jawatan
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Katanya, setakat diketahui, baginda telah memulakan semula tugasnya
selepas dua bulan beristirahat.

“Saya ada dengar khabar angin ini (permintaan agar Yang di-Pertuan Agong
lepaskan jawatan) tapi saya tak mahu bercakap tentang ini.

“Setakat yang saya tahu (baginda telah kembali menjalankan tugas),”
katanya dalam sidang media di Yayasan Al- Bukhary, di sini, hari ini.


Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Gagasan Tiga Malaysia (G3)
meminta supaya pihak berkuasa menyiasat desakan supaya Yang di-Pertuan
Agong, Sultan Muhammad V melepaskan jawatan.

Pengerusi G3, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, spekulasi yang semakin
menular dalam kalangan rakyat menerusi media sosial sejak beberapa hari
lalu meresahkan rakyat.

Ketika di minta mengulas mengenai laporan media berhubung Majlis
Raja-raja Melayu dilapor bermesyuarat di Kuala Lumpur malam tadi, Dr
Mahathir berkata, ia terpulang kepada raja-raja.

Memetik sumber, The New Straits Times (NST) hari ini mengesahkan
mesyuarat tidak rasmi berlangsung berlangsung susulan tamatnya tugas
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai pemangku Agong.

Tidak seperti mesyuarat biasa, menurut laporan itu, tiada keperluan
untuk perdana menteri dan pegawai kerajaan lain hadir.

– SINAR HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.