Tujuh Ditahan Bantu Siasatan Kes Pukul Suspek Pencuri Sampai Mati

SHAH ALAM –  Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang warga Sri Lanka berusia 25 tahun yang dipukul sehingga mati selepas cuba memecah masuk sebuah unit pangsapuri di Kota Kemuning di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata lelaki Sri Lanka itu dipercayai cuba melarikan diri setelah cubaannya memecah masuk sebuah unit di tingkat dua pangsapuri berkenaan disedari penghuninya kira-kira pukul 3 pagi semalam.

“Penghuni melihat mangsa cuba mengumpil pintu rumah beliau dan mengejarnya.

“Beberapa individu di pangsapuri berkenaan turut mengejar lelaki itu, menangkap dan memukulnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini Isnin.

Lelaki itu mati dalam perjalanan ke hospital dan bedah siasat mendapati dia meninggal dunia akibat dipukul, kata Shafien.

Kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 30 tahun ditahan semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

Shafien turut menasihati orang awam supaya tidak menggunakan kekerasan ketika menangkap penjenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.