Tonto gagal kautim Unit Gempur Marin

KLANG – Seorang lelaki dipercayai tonto ditahan selepas mengekori kenderaan anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman dengan menaiki kereta sejauh kira-kira 59 kilometer selepas van membawa rokok seludup kumpulan sindiketnya diserbu pihak berkuasa itu awal pagi tadi.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, tonto atau tekong darat itu mengekori Ungerin dari kawasan serbuan di Kuala Selangor hingga ke pintu masuk Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang.

Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas dalam dua serbuan di Kuala Selangor awal pagi tadi. Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas dalam dua serbuan di Kuala Selangor awal pagi tadi.

“Tonto bertindak sedemikian dipercayai dua sebab, dia mahu mengetahui gerak operasi PPM atau mahu mendekati anggota penguatkuasa untuk ‘kautim’,” katanya ketika sidang media di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Mohd. Yusoff Mamat berkata, tonto yang ditahan akan dirakam percakapan dan kenderaan yang digunakan akan disiasat.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memberitahu, dalam serbuan di Kuala Selangor itu Ungerin PPM Bukit Aman berjaya merampas rokok seludup bernilai RM 648,595.20.

Kereta yang digunakan tonto mengekori Ungerin PPM dari Kuala Selangor hingga ke pintu masuk Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang. Kereta yang digunakan tonto mengekori Ungerin PPM dari Kuala Selangor hingga ke pintu masuk Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang.

Menurutnya, serbuan dalam jam 5 pagi tadi, sepasukan Ungerin memintas dua van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat Jalan Klang-Teluk Intan.

“Siasatan lanjut mendapati, bahagian belakang van itu membawa pelbagai jenis rokok kretek tidak bercukai,” katanya.

Selang setengah jam kemudian bertempat di tepi jalan Jalan Raja Musa Kuala Selangor, Ungerin PPM menahan lagi sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik ditahan dan siasatan turut menemui sejumlah guni berisi rokok kretek tidak bercukai di dalam van berkenaan.

“Kesemua barang rampasan dan ketiga-tiga pemandu van berkenaan berusia 30 hingga 40 tahun dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Yusoff memberitahu, kumpulan sindiket ini dipercayai membawa masuk rokok yang diseludup melalui jalan laut dari negara jiran dan untuk dipasarkan di kawasan Lembah Klang.

– SINAR HARIAN –