TMJ tak faham konsep Persekutuan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak memahami konsep Persekutuan berikutan kritikan baginda terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata, Tunku Ismail belum dilahirkan ketika Persekutuan diwujudkan.

“Baginda tidak faham Persekutuan. Mungkin sebab baginda masih belum dilahirkan ketika itu tetapi saya sudah dilahirkan pada waktu itu.

“Persekutuan bermaksud ia mempunyai kuasa ke atas seluruh negara dan kita tidak boleh berkata ini dan itu tidak boleh dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan berterusan oleh Tunku Ismail terhadap kerajaan PH.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, terdapat senarai yang menyatakan pengasingan kuasa dimiliki kerajaan negeri dan Pusat yang perlu dipatuhi.

“Walaupun kita ada senarai pengasingan kuasa kerajaan negeri dan Pusat, ia tidak menyatakan bahawa kerajaan Pusat tidak boleh memberi pandangan dan komen terhadap kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri,” katanya.

Tunku Ismail dikenali sebagai individu yang lantang menyuarakan pandangan baginda berhubung isu politik tanah air di media sosial.

Terbaru, baginda mengingatkan kerajaan PH supaya berhenti bermain politik sebaliknya memberi fokus membantu rakyat dan membangunkan negara.

Malah, baginda bertegas akan terus bersuara demi rakyat, biarpun bakal menjadi musuh kepada orang ramai.

– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.