Tiga warga Bangladesh ceroboh rumah tanpa penghuni dicekup

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki Bangladesh yang menduduki sebuah rumah kosong milik warga tempatan di Puchong, dekat sini dicekup polis.

Mereka ditahan selepas tindakan berani mereka menduduki rumah yang terbiar kosong selama 10 tahun tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis telah menerima laporan daripada pengadu mengenai insiden tersebut jam lebih kurang 3.20 petang semalam di Kemaman, Terengganu.

“Kami telah menerima laporan polis mengenai insiden tular itu petang hari ini (Isnin) daripada Balai Polis Ayer Putih dan dijadikan laporan Balai Polis Putra Perdana di bawah IPD Sepang sebelum polis Sepang pergi ke lokasi dan membuat tangkapan ke atas tiga lelaki Bangladesh itu.

PROMO! RM16.38 JE. (CLICK GAMBAR)

“Kami (IPD Sepang) terima laporan itu selepas pengadu menceritakan insiden pencerobohan itu kepada media,” katanya ketika dihubungi tengah malam tadi.

Tambah beliau, bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota telah membuat serbuan di rumah yang tular sebelum menahan ketiga-tiga suspek warga Bangladesh berkenaan sekitar jam 9 malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 30 tahun.

Kesemua suspek mengaku menduduki rumah itu sejak dua bulan lalu dan dipercayai merosakkan kunci asal serta memasang kunci baharu di rumah yang diceroboh tanpa kebenaran itu.

PROMO! RM22.50 JE. (CLICK GAMBAR)

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke mahkamah pagi esok (Selasa) untuk permohonan perintah reman bagi meneruskan siasatan polis ke atas mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

(Visited 1,453 times, 1 visits today)