Tiga polis ditahan SPRM, JIPS jalan siasatan dalaman

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan seorang pegawai serta dua anggota oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, arahan juga sudah dikeluarkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

Katanya, bagaimanapun siasatan kes itu akan dijalankan oleh pihak SPRM.

“Yang ditahan adalah ketua balai dan dua anggota di Kuala Lumpur, tetapi saya tidak boleh cakaplah balai mana.

“Dalam usaha untuk memerangi judi dan maksiat beberapa arahan khusus diberikan kepada ketua polis negeri dan ketua polis daerah. Jadi sekiranya ada pegawai-pegawai atau anggota kita terbabit, kita akan ambil tindakan,” katanya.



Mohamad Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Koperasi Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) Datuk Seri Ayub Yaakob (kiri) dengan Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Datuk Seri Mustapa Ali (kanan) sempena Majlis Menandatangani MoU di antara KPDRM dengan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) dan PIKM di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman hari ini. – Foto BERNAMA

Semalam, media melaporkan seorang ketua balai polis antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota.

Sumber SPRM berkata semua suspek dipercayai menerima sogokan itu daripada pemilik premis urut dan ditahan di 16 lokasi sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

  • BERITA HARIAN



(Visited 82 times, 1 visits today)