Tiada sekatan penerbangan dari China: Anthony

SEREMBAN – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menyekat kemasukan penerbangan dari China ke negara ini, biarpun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya juga belum mendapat sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan, namun pemantauan serta langkah berjaga-jaga termasuk pemeriksaan kesihatan sudah pun diambil sejak dari awal di semua pintu masuk negara.

“Kita tidak boleh menyekat penerbangan dari China ini begitu sahaja, perlu melihat banyak kesan dari pelbagai sudut.



“Masih ada ramai rakyat China di Malaysia dan begitu juga di China. Ada rakyat Malaysia di sana, kita perlu fikir implikasinya.

“Apapun, keputusan selanjutnya akan dibuat secara bersama, kita akan ambil nasihat dan ikut arahan Kementerian Kesihatan yang akan buat keputusan tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Sabah menggantung sementara penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke negeri itu, beliau berkata, ia hanya terpakai di negeri itu.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global selepas mengadakan satu mesyuarat tergempar awal hari ini.

Keputusan itu dilakukan selepas koronavirus Wuhan disahkan boleh merebak dari manusia ke manusia lain di luar dari China.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kes jangkitan manusia ke manusia telah berlaku di Jepun, Jerman, Vietnam dan terbaharu berlaku di Amerika Syarikat menunjukkan kemampuan virus ini untuk merebak dengan lebih meluas.

Setakat pagi ini, lebih 8,100 kes positif koronavirus Wuhan dilaporkan seluruh dunia dengan 170 kematian.

Virus ini pertama kali dikesan pada Disember tahun lalu di bandar Wuhan, China.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, Suruhanjaya Kesihatan Nasional China melaporkan sebanyak 9,692 kes telah disahkan dengan 213 kes kematian.

– SINAR HARIAN –