Tiada komplot, konspirasi terhadap penahanan Sanusi – Ayob Khan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa terdapat komplot atau rancangan lebih awal untuk menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu kira-kira enam bulan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berdasarkan kenyataan berbaur penghinaan ke atas institusi kesultanan Selangor semasa berceramah.

CLICK GAMBAR!

Beliau berkata, berdasarkan kronologi kes, laporan tersebut dibuat sehari selepas insiden berlaku dan laporan seterusnya daripada Ahli Majlis Diraja Selangor pada 14 Julai.

Jelasnya, tangkapan dibuat PDRM berdasarkan laporan semasa.

“Oleh itu, tidak timbul isu atau dakwaan konspirasi dan sebagainya kerana PDRM melakukan tangkapan berdasarkan laporan diterima.

“Apabila terdapatnya kenyataan berbaur penghinaan ke atas institusi kesultanan, maka siasatan perlu dilakukan.

“Sesiapa sahaja boleh membuat apa-apa dakwaan tetapi PDRM hanya melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera sempena Kejohanan World Police and Fire Games (Winnipeg) 2023 yang bakal berlangsung di Kanada bermula 28 Julai hingga 6 Ogos ini.

Hadir sama, Chef De Mission Kontinjen PDRM ke Kanada, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan Pengarah Pengurusan, Datuk Azmi Abu Kassim merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, PDRM memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk pemimpin parti politik agar tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, raja serta kaum dalam apa jua status muat naik di media sosial dan ucapan.

Tegas beliau, sudah banyak amaran diberikan PDRM sebelum ini membabitkan isu 3R, namun perkara itu masih dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.

Tambah beliau, institusi diraja juga telah menitahkan agar perkara melibatkan 3R tidak dipolitikkan.

“Andai kata masih terdapat pihak tertentu atau individu cenderung memainkan isu 3R, tindakan tegas akan diambil oleh PDRM.

“Sekiranya tindakan tegas diambil, jangan buat-buat cerita lain bagi melepaskan diri, semua pihak perlu lebih berhati-hati kerana tindakan yang diambil tidak akan mengira latar belakang siapa pelakunya,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob berkata, PDRM telah menghantar kertas siasatan kepada pihak peguam negara membabitkan dua tokoh politik lain iaitu Lim Guan Eng dan Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 Julai lalu.

Kata beliau, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya sekiranya terdapat siasatan yang perlu dilakukan.

– Sinar Harian –

(Visited 79 times, 1 visits today)