Tiada kesan cedera menunjukkan Adib ditarik dari EMRS

SHAH ALAM: Tiada kesan kecederaan atau tanda yang menunjukkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar secara paksa dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Perkara itu dimaklumkan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi di Mahkamah Koroner di sini hari ini, berdasarkan pemeriksaan klinikal dan hasil bedah siasat ke atas Muhammad Adib, 24.

Saksi ke-24 itu berkata, laporan bedah siasat menjelaskan beliau tidak dapat memastikan bahawa Muhammad Adib keluar dari EMRS atau ditarik orang lain.



“Ini berikutan dalam bedah siasat tiada tanda kecederaan pada anggota si mati (Muhammad Adib) yang menunjukkan ada kesan kecederaan ditarik.

“Untuk seseorang ditarik secara paksa keluar dari kenderaan akan mendapat kecederaan atau kesan genggaman pada bahagian ditarik. Namun, dalam kes ini tiada sebarang kesan kecederaan yang menunjukkan adanya kecederaan ditarik pada anggota atas kiri.

“Kecederaan itu termasuk di lengan, lengan bawah dan lengan atas si mati,” katanya dalam prosiding hari ke-17 di hadapan Koroner Rofeah Mohamad.

Ketika disoal Pegawai Pengendali Kes, Hamdan Hamzah berhubung bagaimana dengan kesan calar yang terdapat pada siku kiri Muhammad Adib, doktor itu menjawab, kesan calar itu berpadanan akibat geseran disebabkan jatuh.



Sementara itu, Dr Ahmad Hafizam berkata sekiranya kesan tarikan pada baju pula seperti baju ditarik dan tidak kena pada kulit atau anggota badan, kemungkinan untuk mendapat kecederaan tiada.

“Keadaan itu sama sekiranya tarikan dibuat pada kolar baju di mana kecederaan hanya berlaku jika kolar baju bersentuhan dengan anggota badan seperti kulit.

“Geseran kolar pada kulit leher boleh menyebabkan cedera namun dalam kes si mati, kecederaan akibat perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu saksi sama berkata, adalah mustahil tujuh tulang rusuk kiri Muhammad Adib yang patah disebabkan dipukul dengan parang dalam keadaan anggota bomba itu berdiri.

Beliau berkata, untuk perkara itu berlaku, mangsa perlu berada dalam keadaan menegak dan objek juga pada posisi yang sama.

Pada pandangan beliau, daya yang dihasilkan oleh objek (tumpul) itu tidak kuat untuk menyebabkan kecederaan seperti itu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding inkues bersambung petang.

– BERITA HARIAN –