Terputus bekalan makanan, ambil di IPD berhampiran, atau hubungi….

KUALA LUMPUR: Op Bantu dilancarkan hari ini, untuk memberi bantuan segera kepada individu terputus bekalan makanan di seluruh negara, berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata operasi dijayakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Beliau berkata, pelaksanaannya turut dilakukan secara kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, pelaksanaan pertama Op Bantu itu membabitkan agihan hampir 50,000 bakul bantuan makanan, esok, selain semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara akan dijadikan pusat pengagihan dan penyimpanan bantuan bekalan makanan diberikan melalui Op Bantu.


“Di lapangan, Op Bantu akan diketuai 157 Ketua Polis Daerah di seluruh negara dan membabitkan Skuad Aman Wanita (AMANITA) bawah PDRM serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing.

“Anggota RELA di lapangan akan ditugaskan untuk melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mana-mana individu memerlukan bantuan segera.

“Mana-mana individu terputus bekalan makanan diminta hadir ke IPD berhampiran bagi mendapatkan bantuan segera, manakala yang tidak dapat hadir pula, mereka diminta menghubungi IPD berhampiran masing-masing melalui talian rasmi IPD atau WhatsApp khas Op Bantu yang akan diumumkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Terdahulu, Hamzah ditemani Rina turut menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada individu yang terputus bekalan makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini.

Mengenai Op Patuh, Hamzah berkata, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilihat semakin meningkat.


Katanya, ia susulan bilangan kompaun dikeluarkan kepada pihak ingkar SOP mencatatkan penurunan kepada 157 premis sahaja kelmarin, walaupun jumlah pemeriksaan dilakukan adalah hampir sama setiap hari.

“Kita tak hentikan Op Patuh hingga suatu masa dirasakan semuanya sudah ikut SOP ditetapkan kerajaan. Contohnya semalam, statistik Op Patuh yang ada, kita telah periksa lebih 20,000 premis dan kilang, masing-masing kilang (2,798); asrama (211) dan tapak pembinaan (17,349).

“Sebanyak 27 premis diminta tutup. Jadi ini membuktikan (tahap) kepatuhan lebih baik dilakukan semua mereka yang dibenarkan beroperasi dalam PKP,” katanya.

Berita Asal – Berita Harian –


(Visited 590 times, 1 visits today)