Tan Sri Yuan Yuet Leng – Perginya wira menentang Komunis

Tan Sri Yuan Yuet Leng dilahirkan pada 15 September 1927 di Larut Matang. Beliau menjadi pegawai polis dari tahun 1950 hingga 1984. Jawatan terakhir yang disandang adalah
Ketua Polis Sarawak, sebelum beliau bersara pada tahun 1984. Selepas pembunuhan Ketua Polis Perak, Datuk Khoo Chong Kong pada tahun 1975, Yuan Yuet Leng yang menggantikan mendiang pada November 1975 turut menjadi sasaran. Anaknya Susan, terpaksa dibawa ke Britain kerana terdapat ancaman penculikan, dan pengganas komunis pernah memasang bom dirumahnya.

Pada tahun 1946, ketika berusia 19 tahun, beliau telah belayar ke China dengan harapan hendak memohon biasiswa untuk menyertai kursus tentera laut di United Kingdom dibawah program Tentera Laut China. Beliau belayar dengan kapal SS Atreus dari Singapura terus ke Canton, China. Setibanya disana,beliau agak terkejut melihat suasana, yang mana para veteran perang dari Koumintang (KMT) yang telah cedera atau hilang upaya meminta sedekah dan hidup tanpa pembelaan. Ramai yang mati ketika musim sejuk, dan mayat-mayat mereka dibuang ke sungai menjadi habuan ikan-ikan. Beliau mendapati kerajaan KMT mengamalkan rasuah dan juga kronisma. Melalui pengembaraannya ke daerah Kwangtung, Kwangsi dan Kweichow, beliau banyak menimba pengalaman tenteang kehidupan rakyat China. Malangnya, kerana perjalanan yg sukar, beliau terlepas untuk menghadiri tarikh temuduga di Universiti Lignan, oleh Tentera Laut China itu. Kerana kekurangan wang belanja untuk kembali ke Malaya, beliau dinasihatkan untuk meminta bantuan CNRRA, sebuah agensi yang menguruskan pulang rakyat Malaya yang telah berkhidmat sebagai tentera di China semasa Perang Dunia ke-2. Sebahagian mereka adalah para pelajar dari Malaya yang telah terkandas akibat perang. Beliau kembali ke Malaya dengan kapal Van Heutz pada bulan Feb 1946.

Kecewa dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan KMT kepada rakyat China, beliau pergi ke Kor Pemuda KMT di Taiping dan menceritakan apa yang dilihatnya di China. Beliau terus enggan melibatkan diri dengan perjuangan KMT lagi dan merasakan bahawa negara China tidak akan mengalami kekurangan tenaga manusia dan golongan terpelajar, sebaliknya mereka perlukan bantuan ekonomi. Menurutnya lagi, kekalahan KMT kepada pihak komunis bukanlah kerana Mao Tse Tung kuat, tetapi adalah kerana kerajaan KMT pimpinan Chiang Kai Shek sangat-sangat lemah kerana mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Pada tahun 1947, Yuen Yuet Leng menyambung persekolahan yang tergendala akibat pendudukan Jepun dan lulus peperiksaan Senior Cambridge di Penang Free School. Beliau kemudian mendapat biasiswa untuk menyambung pelajaran ke Technical College, Kuala Lumpur tetapi terpaksa berhenti kerana beliau tidak dapat membantu keluarga di Taiping dengan sumber kewangan yang terhad. Yuen Yuet Leng kemudian mengabil keputusan untuk menyertai pasukan Polis pada 1 Disember 1950 dengan mengikuti program latihan Inspektor Percubaan Asia (Probationary Asian Inspectors – PAI) yang terdiri dari 22 Melayu, 19 Cina dan 13 India. Selepas menamatkan latihan selama 6 bulan, Yuen Yuet Leng ditugaskan ke Jabatan Siasatan Jenayah (Criminal Investigation Department) Seremban sebelum dihantar menghadiri kursus selama 6 minggu dalam peperangan hutan di Sik Jungle Warfare Training School, Kedah. Seterusnya pada 11 Julai 1951, beliau ditugaskan bersama No. 20 Federal Jungle Company (FJC) di Chemor.

Buku tulisannya yang menceritakan pengalaman menentang komunis dari tahun 1950an sehingga perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya pada 1989.

Semasa bertugas tidak sampai 3 bulan di Grik beliau telah tercedera dalam pertempuran semasa mengetuai pasukannya menyerang sebuah kem pengganas komunis di Bukit Tagor, kira-kira 6 batu ke selatan Titi Gantong. Setelah mengikuti jejak pengganas komunis selama 2 hari, pada 14 Disember 1951, mereka menemui sebuah kem yang lengkap dengan padang bola keranjang dan juga merupakan sebuah padang kawad. Mereka sebenarnya telah menemui Markas Platun, Kompeni Pertama, Rejimen ke-12 MRLA. Beliau bersama-sama Police Constable (PC) Lope, telah ditembak bertalu-talu oleh musuh dari kedudukan yang lebih tinggi. Lans Kopral Badri dan Koperal Razali datang membantu sambil melontar grened ke arah musuh. Selepas pertempuran selama 20 minit, pengganas komunis melarikan diri. Mereka dianggarkan berkekuatan 20 hingga 30 anggota. Hanya Yuen Yuet Leng dan PC Lope sahaja yang tercedera dalam pertempuran tersebut.

Pada suatu ketika, beliau telah diminta membantu orang kampung untuk membunuh seekor harimau yang telah termasuk ke dalam perangkap khinzir. Walaupun harimau tersebut terlepas buat seketika dan menimbulkan situasi panik, mereka berjaya membunuhnya. Gambar mereka bersama-sama harimau yang mati telah dicetak dan diletakkan di sebuah kedai gambar di pekan Grik. Satu salinan gambar ini pula telah diperolehi oleh skuad khas pembunuh (Special Mobile Squad) dan pengganas komunis telah mula memburu Yuen Yuet Leng. Habuannya ialah jam tangan, pen dan wang tunai RM 50 iika beliau dapt dibunuh. Bagaimanapun beberapa cubaan serangan dapat dipatahkan.

Penulis semasa bertandang ke kediaman Tan Sri Yuen Yuet Leng pada 2014

Pada bulan Januari 1952, ketika meronda di dalam kawasan pembalakan di Batu 5, jalan Grik/Klian Intan, beliau ternampak sepucuk rifel menghala kearahnya dari sebatang balak yg telah tumbang. Beliau lantas meniarap, dan tembakan yang dilepaskan musuh mencederakan dahi seorang pekerja balak. Pengganas komunis tersebut melarikan diri. Apa yang melucukan, 5 bulan kemudian, si penembak yang dikenali sebagai Chung Kim Seong telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan hinaan dari rakan sepasukannya atas kegagalannya menembak Yuen Yuet Leng dengan tepat.

Pasukan Federal Jungle Company (FJC) pimpinannya banyak kali bertempur dan melakukan operasi bersama tentera British antaranya bersama SAS dan 40 Commando Royal Marines, Pada 27 April 1952, beliau telah tercedera dilengan kerana telah ditembak (friendly fire) oleh askar Gurkha dalam satu operasi. Pasukan FJC telah termasuk ke dalam kawasan membunuh pasukan Gurkha yang telah sedia melakukan serang hendap. Pada 19 May 1952, platun pimpinanya berjaya membunuh 2 pengganas komunis dalam satu pertempuran berhampiran Kampung Baru Titi Gantong.

Semasa melancarkan Operasi Stanley di Sungai Dala pada 29 Ogos 1952, Dalam pertempuran disitu, anggota tinjau hadapan, PC Zabri, mati dipangkuannya sejurus selepas Allahyarham meminta Yuen Yuet Leng menyampaikan mohon maaf kepada ibunya dan berkata beliau tidak akan dapat kembali lagi menemui ibunya. Yuen Yuet Leng masih ingat, ketika itu platunnya yang terdiri dari 95% anggota Melayu telah memasang benet dan menggempur kedudukan komunis yang menyerang hendap dari atas bukit. Melihatkan keberanian mereka ini, pasukan musuh kemudiannya berundur. Yuen Yuet Leng kemudiannya meminta bantuan serangan udara dan menanda sasaran dengan “marker baloon”. Selepas pengeboman dilakukan, keesokkannya sepasukan pengganas komunis menyerah diri kepada No. 2 Platoon, 16th Federal Jungle Company. Setelah melakukan pengelidahan, rupa-rupanya mereka telah menyerang Markas Rejimen ke-12. Kem seluas 5 ekar ini dilengkapi dengan kubu dari kayu balak, mampu menampung 150 hingga 200 orang, juga dilengkapi dengan stor senjata, dewan kuliah dan klinik untuk 20 pesakit.

Pada 1 Januari 1953, Yuen Yuet Leng telah dihantar mengikuti Kursus Jurulatih Platun di Far East Land Forces (FARELF) Center, Kota Tinggi, Johor selama 6 minggu. Tidak lama selepas kembali ke pasukannya, pada tahun itu juga beliau ditukarkan ke Cawangan Khas (Special Branch) untuk tugas-tugas risikan.

Penulis — SEJARAH KONFLIK & MILITER

Leave a Reply

Your email address will not be published.