SPRM panggil artis bantu siasatan ‘cuci’ wang haram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 10 artis dan selebriti bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Sumber memaklumkan, semua artis terbabit termasuk seorang pelakon lelaki terkenal dan selebriti wanita yang juga pelakon dan pengacara popular akan diminta hadir ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.



Katanya, ramai lagi akan dipanggil kerana mereka diperlukan untuk membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian itu.

Menurut sumber itu lagi, seramai sembilan lagi individu sudah pun diambil keterangan oleh SPRM berhubung kes itu, semalam.

Semua mereka berusia 25 hingga 32 tahun itu dirakam percakapan kira-kira jam 3 petang, semalam.

CLICK GAMBAR UNTUK WHATSAPP!

“Ada yang hadir di pejabat SPRM, ada yang diambil di luar,” kata sumber.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan usahawan yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya hadir sendiri ke SPRM untuk membantu siasatan.

“Saya tidak mahu buat spekulasi siapa di antara mereka yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya.

“Mereka yang mungkin pernah menerima dana daripada kegiatan sindiket, jadi sila datang ke SPRM. Jika kita panggil tentu tidak berapa cantik,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm, baru-baru ini.

– BERITA HARIAN –