Siti Kassim wakili NGO hantar memorandum sokong Waytha Moorthy

PUTRAJAYA – Seramai 30 aktivis yang mewakili 211 badan bukan kerajaan
(NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad bagi menyokong Senator P Waytha Moorthy mengekalkan
jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali
sebagai Siti Kasim, yang mewakili kumpulan itu berkata, Waytha Moorthy
tidak perlu dipersalahkan berikutan tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha
Mariamman, Subang Jaya bulan lepas.


“Kami harap Perdana Menteri tidak tunduk pada desakan puak yang
menggunakan kaum dan agama untuk mengeruhkan keadaan,” katanya kepada
pemberita di luar bangunan Perdana Putra, di sini.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu
Bakar Yahya.

Waytha Moorthy yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan
Negara dan Kesejahteraan Sosial, menghadapi desakan supaya meletak
jawatan akibat kegagalan beliau mengendurkan ketegangan kaum berhubung
rusuhan tersebut yang meragut nyawa seorang anggota Jabatan Bomba dan
Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim.

– SINAR HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.