SINDIKET PEMALSUAN MYKAD DIPERANGI HABIS-HABISAN

2 MEI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan Mykad, khususnya dari aspek ciri keselamatan bagi menangani masalah pemalsuannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, JPN juga sudah menambahbaik SOP sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem jabatan itu.

Tegasnya, kerajaan memandang serius kes melibatkan pemalsuan MyKad yang dilakukan kakitangan JPN sendiri atau sindiket tertentu, dan polis dan JPN akan terus bekerjasama melalui Ops Biru.



“Satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad serta memburu dalang yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah juga memohon orang ramai untuk menghentikan penyebaran mesej bersifat berita palsu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, orang ramai boleh terus melaporkan maklumat tersebut kepada KDN, polis atau JPN secara langsung,” katanya.



Dalam pada itu katanya, JPN membuat laporan polis pada 1 Mei berhubung laman sesawang yang mengiklankan dan menjual kad pengenalan palsu dalam talian.

Menurut Hamzah, kementeriannya maklum terdapat banyak terbitan di media sosial membabitkan kad palsu, dan semua kenyataan dan gambar yang dimuat naik sudah diteliti JPN.

Beliau menjelaskan, gambar MyKad yang tular di media sosial pada ketka ini merupakan gambar lama yang dimuat naik semula, dan mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan kad pengenalan di Pulau Pinang pada 2019.

“Tiada gambar dan maklumat pemalsuan Mykad yang baru dapat dikenal pasti. Polis sudah menangkap individu yang terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Sumber – pnbbcportal.com