SIAPA TUN HANIFF OMAR ?

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Perjuangan PDRM Dalam Mencapai Dan Mengekalkan Kemerdekaan Negara

Tun Mohammed Haniff Bin Omar

Dilahirkan pada 16 Januari 1939 di Teluk Anson, Perak. Tun Mohammed Haniff Omar mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese dan Kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya, Singapura pada 1959 dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-undang dari University of Buckingham, London. Beliau memulakan kerjayanya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis mulai 8 Jun 1959 dan telah memegang pelbagai pngkat bermula dengan Pegawai Penyasat di Melaka Tengah (April 1960) dan Penolong Ketua Polis Daerah Jasin (30 November 1960).

Seterusnya beliau menjawat jawatan Penolong Pegawai Penjaga Siasatan Jenayah (Selatan), Pahang (2 Disember 1960), Pegawai Turus Cawangan Khas Selangor (8 Ogos 1966), Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak (20 Julai 1967), Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969), Ketua Cawangan Khas Selangor (20 Disember 1969), Ketua Polis Melaka (7 September 1970), Ketua Polis Selangor (6 Disember 1971), Pengarah Cawangan Khas (31 Januari 1973) dan Timbalan Ketua Polis Negara (1 Februari 1973).

Mulai 8 Jun 1974, Tun Haniff telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara selama 20 tahun sebelum bersara daripada perkhidmatannya pada 15 Januari 1994. Beliau merupakan tokoh yang termuda dan paling lama yang diberi mandat untuk memegang jawatan tersebut. Sepanjang meniti kerjaya bersama pasukan PDRM selama 35 tahun, beliau juga banyak terlibat dalam peristiwa bersejarah negara antaranya sebagai salah seorang daripada 5 anggota PDRM yang turut bersama dengan Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963.

Tun Haniff juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia di Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Antara anugerah yang diperolehi sepanjang perkhidmatan beliau ialah Panglima Mangku Negara (PMN-1976), Bintang Dato’ Seri Panglima Taming Sari Perak (SPTS – 1978), Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Yang Pertama (SPMJ-1980) dan Ijazah Kerhormat Doktor Undang-undang oleh DYMM Tuanku Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (1989).

Setelah bersara, Tun Haniff terlibat aktif dalam dunia korporat dengan memegang jawatan penting seperti Pengerusi Maxis Communications Berhad, General Corporation Berhad, Park May Berkad, Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan Resort World Berhad, Lembaga Pengarah AMMB Holding Berhad, AMFB Hodlings Berhad, Ambank Berhad dan AmIslamic Bank Berhad.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Malaysian Institute of Management (MIM), Presiden Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS), Ahli Majlis Ekuit Malaysia, Ahli Majlis Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Pengerusi Yayasan Tun Razak dan Pemegang Amanah Yayasan Jantung Negara.

Sumber – http://www.arkib.gov.my

Juga berita menarik (click) –>

Leave a Reply

Your email address will not be published.