SETUJU FUNGSI DAN PERANAN PDRM AKAN DIKECILKAN ?

PDRM yang menyambut Peringatan Hari Polis ke 212 baru-baru ini “dihadiahkan” berita kurang enak buat warga Sang Saka Biru keseluruhannya, baik yang sedang mendokong perjuangan masih dalam perkhidmatan bahkan juga yang telah bersara.

Khabar yang dimaksudkan adalah pembubaran Pasukan Polis Marin dan pengecilan fungsi dan peranan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM melalui rasionalisasi jabatan/agensi di Kementerian Dalam Negeri.

 

Tindakan dan usaha untuk membubarkan Pasukan Polis Marin adalah sesuatu yang agak malang jika diteruskan.

Adakah kita tidak belajar dari tragedi pencerobohan di Sabah tahun 2013? Sedang kecoh diperkatakan pada masa itu Pasukan Polis Marin akan dibubarkan dengan pelbagai aset Pasukan Polis Marin diserahkan kepada agensi lain, namun terjadinya sejarah hitam negara membuka semula mata semua betapa pentingnya fungsi dan peranan Pasukan Polis Marin.

Ramai yang tidak memahami fungsi dan peranan Pasukan Polis Marin dari segi pengoperasian yang memerlukan hubungan taktikal dan teknikal antara jabatan dalam PDRM itu sendiri melalui perkongsian risikan dan operasi.

 

Bagaimana harus satu agensi yang baru ditubuhkan “memintas” peranan Pasukan Polis Marin yang dikatakan mempunyai pertindihan kuasa dengan agensi tersebut walhal Pasukan Polis Marin itu sendiri telah wujud lebih awal dan telah terbukti memikul tanggungjawab sebagai penguatkuasa bagi menjaga ruang lingkup marin negara.

Adakah mereka tidak tahu bahawa Pasukan Polis Marin memiliki panjinya tersendiri yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 24 Julai 1971.

Membubarkan Pasukan Polis Marin bererti memusnahkan panji yang telah dianugerahkan oleh Ketua Negara.

 

Selain itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga menjadi mangsa untuk dikecilkan yang mana dicadangkan untuk urusan pengiring dan peranan penguatkuasaan diserahkan kepada agensi lain.

Adalah tidak masuk akal pihak Trafik PDRM tidak diberi peranan sebagai penguatkuasa kerana PDRM adalah sebuah agensi yang berkait rapat dengan undang-undang keseluruhannya dan tidak terhad untuk undang-undang tertentu sahaja.

Bagaimana pihak polis sendiri tidak diberi peranan untuk tidak melakukan penguatkuasaan walhal penguatkuasaan adalah sinonim dengan polis.

 

Jika dikatakan pertindihan kuasa pihak Trafik PDRM dengan agensi lain, sepatutnya peranan agensi lain tersebut digubal semula dengan memberi peranan terhadap pemeriksaan kenderaan, urusan dokumen serta pentadbiran berkenaan pengangkutan jalan bukannya mengambil alih peranan penguatkuasaan daripada pihak Trafik PDRM.

Amat menyedihkan bagi warga PDRM berkenaan isu tersebut. Belum reda dengan isu penubuhan IPCMC yang secara terang-terangan banyak pertikaian yang ditimbulkan.

Diharap pihak pucuk pimpinan tertinggi PDRM dapat melalukan sesuatu dan memberi gambaran sebenar kepada pihak kerajaan agar keutuhan PDRM terus terpelihara.

Nukilan Rasa : Pendokong Sang Saka Biru



(Visited 235 times, 1 visits today)