Senapang buatan sendiri antara tiga senjata api dirampas

SERI ISKANDAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga senjata api termasuk senapang buatan sendiri serta senapang angin di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Sungai Tumbuh dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata turut dirampas adalah 101 peluru hidup pelbagai jenama.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 44 tahun itu ditahan ketika serbuan pada jam 5 pagi.

Katanya, senjata api yang dirampas adalah selaras senapang patah jenama Spl Forces model Harrington & Richardson Inc, Worcester buatan Amerika Syarikat, selaras senapang buatan sendiri barel 12 bore dan selaras senapang angin bersama scoop armpoint jenama Bushnell 3-9×40EG.

“Polis turut merampas 101 butir peluru hidup 12 bore pelbagai jenama, satu tali pinggang peluru, satu beg jenama Santa Barbara Polo & Racquet Club dan dua telefon bimbit,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Fakri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik senapang patah Winchester seandainya ada pemilik yang sah, selain menghantar senjata api dan peluru kepada pihak forensik dan Jabatan Kimia untuk ujian balistik.

Katanya, kedua-dua lelaki masih direman untuk siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.