Semua anak pergi sekelip mata: Bapa

DUNGUN – “Mereka sepatutnya ke sekolah esok tetapi ketiga-tiga anak kami
telah ‘pergi’ sekelip mata”.

Demikian luah Zawawi Abd Wahad, 42, yang berdepan dengan insiden
menyedihkan pada akhir 2018 apabila kesemua tiga anaknya Nurain Fatma
Zawawi, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Sasabila, 6, ditemukan lemas
pagi tadi di Pantai Sura Tengah di sini.

“Kali terakhir saya menatap wajah anak-anak kesayangan itu pada pagi
semalam (Ahad) selepas menghantar mereka mengambil buku teks di Sekolah
Kebangsaan Perol, Kelantan,” katanya.

Zawawi berkata, dia menerima perkhabaran sedih itu menerusi panggilan
telefon daripada anggota keluarganya pada kira-kira jam 7 malam hari
yang sama dan bergegas ke tempat kejadian bersama isterinya, Nur Syahida
Abdullah, 36.


Mereka sekeluarga baru sahaja pulang daripada bercuti di Hatyai,
Thailand Sabtu lalu sebelum ketiga-tiga anaknya itu mengikut ibu saudara
mereka, Suriani Abdullah, 41, serta beberapa anggota keluarga lain
bercuti di Dungun.

“Saya serta isteri tidak turut serta kerana kepenatan dan menguruskan
beberapa urusan kerja serta persekolahan anak-anak memandangkan sesi
persekolahan Pantai Timur bakal bermula esok. Semua kelengkapan
persekolahan telah disiapkan.

“Tak dapat digambarkan betapa hancur dan luluhnya perasaan kami apabila
semua anak ‘pergi’ sekali gus,” katanya dalam keadaan sugul ketika
ditemui pemberita di Hospital Dungun.

Suasana sedih dan pilu itu bukan sahaja menyelubungi anggota keluarga
tetapi juga pihak media yang turut sama berada di situ terutama apabila
melihat ibu kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan
terpaksa dipapah oleh keluarga.


Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.40 petang semalam, ketiga-tiga
mangsa yang berasal dari Kampung Peringat, Kelantan dihanyutkan setelah
dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir pantai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata
mayat Nurain Sofia ditemukan pada jam 7.48 pagi lima kilometer dari
lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila dijumpai kira-kira
pukul 9.40 pagi, satu kilometer dari tempat kejadian.

Mayat kakak mereka, Nurain Fatma dijumpai oleh orang awam terdampar di
pesisir pantai pada kira-kira 11.03 pagi, lebih kurang lima kilometer
dari lokasi kejadian.

“Jenazah tiga beradik berkenaan dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun
untuk siasatan lanjut dan akan dibawa pulang untuk dikebumikan di
kampung nenek sebelah ibu mereka di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Sura Tengah itu
dijalankan oleh 73 anggota termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.