Selamba cuba sogok anggota PGA RM10,000

Kuching: Seorang tauke ditangkap selepas cuba menawarkan suapan kepada pasukan penguat kuasa bagi melepaskan rokok dan bir seludup miliknya.

Lelaki berusia 67 tahun itu bertindak sedemikian selepas 1,500 karton rokok putih, 1,040 karton rokok kretek dan 150 kotak bir pelbagai jenama dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan Hui Sing Garden, di sini, jam 11 pagi hari ini

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, suspek datang dan mengaku sebagai pemilik rokok dan bir yang belum lulus cukai kastam itu.


“Selepas cuba memujuk supaya dilepaskan, lelaki itu menawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada ketua serbuan.

“Disaksikan oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, lelaki terbabit ditahan dan diserahkan kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam Ops Libas yang dijalankan pasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak bersama pegawai SPRM Sarawak itu menemui rokok dan bir disimpan di dalam rumah dan dalam sebuah kenderaan yang diparkir di rumah terbabit.

CLICK GAMBAR UNTUK WHATSAPP!

Katanya, anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM456,988 termasuk cukai.

Mancha berkata, pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga penjaga rumah berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

– Harian Metro