Selamat Tahun Baru Cina buat dua wira negara yang dilupakan…

PADA 30 April 1971, Detektif Koperal Yeap Sean Hua dan Detektif Konstabel Fong Thean Kit yang sedang bertugas di sebuah pondok polis telah keluar menjalankan rondaan bersama-sama di pekan Setapak, Kuala Lumpur.

Kedua-duanya hanya memakai pakaian biasa (tidak beruniform) ketika menjalankan tugasan.
Tiba-tiba kedua-duanya ternampak tiga orang penjenayah yang memang sangat dikehendaki terutama oleh pihak berkuasa Singapura.

Kesemua suspek sangat aktif dalam menjalankan kegiatan merompak dengan menggunakan senjata api di sekitar Kuala Lumpur dan negara jiran kita itu. Mereka kemudiannya menghampiri ketiga-tiganya dan meminta kad pengenalan untuk diperiksa.

Salah seorang penjenayah kemudian berpura-pura hendak mengeluarkan kad pengenalan, namun rupa-rupanya dia mengeluarkan sepucuk pistol lalu menembak tepat ke mata kiri Sean Hua.
Beliau kemudian jatuh tersungkur dan mati di tempat kejadian. Darah membasahi bumi. Tubuh Sean Hua tertiarap di atas jalan.

Belum sempat untuk bertindak mencari perlindungan, Thean Kit yang berdiri bersebelahan rakannya itu turut ditembak di bahagian peha dan perutnya.

Walaupun dalam keadaan kesakitan yang amat sangat, Thean Kit menggagahkan diri melompat dan seterusnya memaut kaki penjenayah yang melepaskan tembakan tersebut.

Dalam pergelutan hampir lima minit itu, suspek berjaya menghentak kepala Thean Kit dengan buntot pistolnya. Darah panas sekali lagi memercik keluar, kali ini dari kepalanya pula.

Biarpun telah ditembak di bahagian peha dan perut serta kepalanya juga parah diketuk, Thean Kit tidak pedulikan itu semua. Dalam fikirannya ada ada dua perkara, demi negara dan demi anaknya yang masih kecil di rumah.

Akhirnya Thean Kit berjaya menumpaskan dan seterusnya menangkap salah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki itu biarpun dirinya berlumuran darah dan rakan sekerja sendiri tersungkur menyembah bumi.

Di atas keberanian luar biasa yang mereka tunjukkan, kerajaan mengambil keputusan untuk menganugerahkan pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) buat Sean Hua dan Thean Kit.

Thean Kit meninggal dunia dalam usia 76 tahun kira-kira tiga tahun lalu di kediamannya di Georgetown, Pulau Pinang.

Hari ini masyarakat Tionghua merayakan perayaan Tahun Baru Cina. Tak ramai daripada kita yang tahu kisah keberanian dua sahabat ini.

Kami warga theRakyat.com ingin mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mendiang yang kami anggap ‘wira tidak didendang’.

Kita terhutang budi pada mereka, dua wira PDRM yang nama mereka akan terus terpahat dalam tinta emas sejarah keamanan negara dulu, kini dan selamanya.
TABIK UNTUK KEDUA-DUANYA!
– theRakyat.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.