Sebar Video Mahkamah,Polis rakam keterangan bekas pegawai khas Najib

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil, hari ini, bagi membantu siasatan penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ketika ini, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Awal hari ini dia (Isham) dipanggil untuk beri keterangan. Polis akan ambil tindakan, kita akan rujuk dengan Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM dan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kamarulzaman Mamat memangku tugas sebagai Pengarah JSJN berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Seri Mohmad Salleh yang bersara wajib.

Ahad lalu, polis dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung penularan klip video berkenaan, yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, dilaporkan berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

– BERITA HARIAN –



(Visited 92 times, 1 visits today)