Saya sepatutnya nikahkan mereka malam tadi – Bapa Nurul Najihah

ALOR SETAR: “Mengikut perancangan, saya sepatutnya nikahkan mereka di masjid malam tadi,” luah Mohd Radzi Bedah, 51.

Mohd Radzi adalah bapa kepada Nurul Najihah, 25, yang dirancang bernikah dengan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia, Isnin lalu.
Beliau berkata, Nurul Najihah dan Adib sepatutnya disatukan pada majlis akad nikah di Masjid Pantai Johor malam tadi, sebelum majlis persandingan mereka diadakan di rumah mereka di Taman Damai, di sini.
Katanya, kelengkapan baju untuk dipakai keluarga mereka sempena majlis perkahwinan itu juga sudah disiapkan, begitu juga dengan duit deposit bagi jamuan makanan yang disediakan pihak katering.
Bagaimanapun, beliau dan keluarga reda dengan ketentuan takdir yang sudah tertulis bahawa Allahyarham Muhammad Adib akan menghadap Ilahi beberapa hari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan mereka.
“Biarpun tertulis antara mereka tiada jodoh namun saya berharap ikatan silaturahim antara keluarga arwah Muhammad Adib dan kami tidak akan terputus, malah perbelanjaan jamuan yang sepatutnya dibuat hari ini saya salurkan untuk majlis tahlil Khamis lalu, ” katanya yang sebelum ini merancang meraikan kira-kira 1,500 tetamu.
Menyentuh mengenai perihal Muhammad Adib, Mohd Radzi berkata, pemuda itu amat baik perilakunya, malah tidak banyak bercakap berikutan seorang yang pemalu.
Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Isnin lalu selepas tiga minggu menerima rawatan di situ akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.
Sementara itu, isteri Mohd Radzi, Haliza Abu Bakar, 48 pula berkata, selepas hampir seminggu Muhammad Adib meninggal dunia, semangat Nurul Najihah yang hilang akibat tragedi itu semakin pulih.
Haliza berkata, keadaan Nurul Najihah semakin baik apabila tidak lagi hanya berkurung di bilik, sebaliknya sudah boleh melakukan aktiviti lain seperti mengemas rumah dan memandu kereta.
Katanya, selepas pemergian Muhammad Adib, Isnin lalu, Nurul Najihah yang juga anak kedua daripada empat beradik itu banyak termenung dan berkurung dalam bilik.
“Alhamdulillah, keadaan Najihah semakin pulih, dia sudah keluar bilik. Kalau tidak memang berkurung dalam bilik saja, pagi tadi dia bangun awal kemas rumah dan boleh memandu bagi menghadiri tahlil di rumah arwah.
“Sebelum ini, memang dia tak mahu makan, kalau saudara-mara datang dia akan keluar bersembang sekejap, tetapi selepas itu dia kembali berkurung dalam bilik dan termenung,” katanya.
Pada masa sama, Haliza berkata, perubahan positif pada Nurul Najihah dapat dilihat selepas pihak keluarga mengadakan majlis tahlil di surau di perumahan mereka dan meminta ahli kariah untuk mendoakan anaknya diberi kekuatan.
Sebelum ini katanya, emosi Nurul Najihah turut terganggu apabila wujudnya enam akaun palsu di laman sosial Instagram yang menyamar sebagai Eksekutif Jualan itu.
Susulan itu, Haliza berkata, keluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum pihak berkuasa meminta mereka merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Leave a Reply

Your email address will not be published.