Sah 2 Suspek Termasuk S/U Kedutaan Korea Utara – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan salah seorang daripada dua suspek diburu dikenal pasti Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, suspek tersebut dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44 dan seorang lagi suspek yang baru dikenal pasti merupakan pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Kim Uk-il, 37.

“Kedua-dua suspek warga Korea Utara itu disyaki masih lagi berada di negara ini dan kami telah minta mereka tampil untuk bantu siasatan kes kematian yang berlaku pada minggu lalu.

“Sekiranya mereka masih lagi enggan, waran tangkap akan dikeluarkan,” tegas Khalid dalam sidang akhbar khas yang diadakan di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau ketika mengulas perkembangan kes melibatkan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam itu turut menyatakan bahawa pihak polis merujuk identiti mangsa sebagai Kim Chol.

Kakitangan kedutaan Korea Utara itu tiba di Malaysia pada 20 September 2016 manakala petugas syarikat penerbangan Korea Utara itu pula didapati tiba di Malaysia sejak 29 Januari lalu.

Khalid berkata kedua-dua rakyat Korea Utara itu masih berada di dalam negara dan polis akan mencari mereka jika tidak hadir bagi membantu siasatan.

Polis ujar beliau juga sedang memburu seorang lagi warga Korea Utara yang dipercayai terlibat aktif dalam pembunuhan itu dikenali sebagai Ri Ji U, 30, atau dikenali sebagai James.

Beliau berkata pihaknya kini mengeluarkan arahan dan meminta bantuan Interpol selain berhubung dengan Korea Utara untuk menyerahkan semula warga mereka ke Malaysia
Jelas beliau, pihaknya turut meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Korea Utara untuk segera menyerahkan kesemua suspek kes sama yang telah pulang semula ke negara komunis itu bagi proses siasatan.

“Pihak berkuasa Korea Utara perlu memberi kerjasama dan membenarkan kita menjalankan soal siasat terhadap kesemua suspek supaya siasatan kes ini dapat dilengkapkan,” katanya.
Khalid turut memaklumkan, pihaknya menolak tawaran Korea Utara untuk menjalankan siasatan bersama kerana kes ini di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Leave a Reply

Your email address will not be published.