Sabotaj negara: Dalang pencemaran sungai boleh didakwa di bawah SOSMA – KPN

KUALA LUMPUR: Pihak bertanggungjawab terhadap pencemaran diesel di beberapa sungai di Selangor dan Kuala Lumpur mungkin akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bergantung kepada hasil siasatan, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai mensabotaj negara.
“Sesiapa yang melakukan sabotaj terhadap mana-mana prasarana atau kepentingan (kerajaan), boleh ditangkap di bawah SOSMA dan didakwa di bawah undang-undang paling serius.



“Insiden ini menjejaskan 4 ke 5 juta orang. Jadi saya tidak akan teragak-agak dalam kes ini,” katanya.

Abdul Hamid berkata, ini menjadi sebab mengapa beliau mengarahkan Ketua Polis Selangor untuk turun padang dan mengendalikan kes tersebut sendiri.

Hampir 1.2 juta akaun pelanggan terjejas dengan pencemaran diesel di sungai di tujuh wilayah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Setakat jam 6 pagi Selasa, pemulihan bekalan air secara berperingkat di kawasan yang terlibat sudah mencapai tahap 77 peratus.

– Astro Awani –