Sabah tekad jadikan PDRM mangsa pertama

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mahu pasukan Sabah mengutip mata awal dalam Liga Super 2020 bagi memastikan semangat pasukan berada dalam tahap tertinggi untuk mengharungi saingan liga berkenaan.

Beliau berkata momentum kemenangan awal dalam saingan liga berkenaan sangat penting untuk memastikan skuad Tambadau sentiasa berada di kedudukan terbaik sepanjang liga itu berlangsung.

“Saya yakin pasukan Sabah sudah bersiap sedia untuk berentap dan daripada apa yang kita lihat dalam perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini kita yakin skuad Tambadau mampu memberi saingan sengit dalam Liga Super.



“Saya percaya jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto telah menyiapkan pasukan pada saat-saat akhir ini dan bersiap sedia dalam perlawanan pertama menentang PDRM pada Ahad ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan dan Pelancaran Pasukan Bola Sepak Liga Super Musim 2020 Sabah, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Kurniawan berkata pasukan Sabah kini berada pada tahap yang baik untuk memulakan saingan dalam Liga Super.

Ditanya mengenai sasaran dalam saingan Liga Super, beliau berkata sebagai jurulatih daripada luar negara iaitu Indonesia, beliau mahu yang terbaik untuk pasukan dan cuba mencipta sejarah di negara luar.

– BERNAMA



(Visited 33 times, 1 visits today)