RUU mansuh hukuman mati dibentang minggu depan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata kertas cadangan RUU berkenaan akan dibawa ke Kabinet, esok.

Katanya, pindaan akan dilakukan terhadap 11 kesalahan yang menyentuh mengenai hukuman mati mandatori, membabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.



“Kita membuang perkataan ‘mandatori’ dan kemungkinan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun.

“Jadi, hakim mempunyai tiga pilihan selepas memutuskan seseorang itu bersalah (bagi 11 kesalahan yang terbabit).

“Hakim akan mempertimbangkan pelbagai keadaan mitigasi sebelum memutuskan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol.

“Ia bergantung kepada fakta dan situasi kes,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.



Bagaimanapun, Vui Keong berkata, pindaan berkenaan tidak termasuk hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang akan dilihat secara berasingan.

Ditanya sama ada undang-undang baharu itu akan bersifat retrospektif (terpakai kepada mereka yang sudah dijatuhkan hukuman), Vui Keong berkata, perkara itu masih dipertimbangkan.

Katanya, ia disebabkan ada tempoh moratorium bagi hukuman mati dilaksanakan selepas hukuman itu dijatuhkan terhadap pesalah, termasuk proses rayuan kepada Lembaga Pengampunan.

– BERITA HARIAN –



(Visited 45 times, 1 visits today)