Rusuhan kuil: Polis nafi anggota terlibat

Rusuhan kuil: Polis nafi anggota terlibat

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penglibatan seorang anggotanya dalam kejadian insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu tersebut merupakan bekas anggota Polis Simpanan Sukarelawan (PVR) yang telah ditamatkan perkhidmatan.

“Dia telah diberhentikan atas masalah-masalah tertentu.
“Jadi kenyataan mendakwa itu adalah anggota polis sama sekali tidak benar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Pembuktian Dan Pendakwaan Serta Buku Panduan Siasatan Jenayah Melibatkan Agen Kimia, Biologikal Radiologikal, Nuklear dan Letupan, di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Terdahulu, satu video berdurasi sembilan saat telah tular sejak Isnin lalu memaparkan seorang lelaki sedang mengawal kemarahan ketika rusuhan berlaku.

Video berkenaan mula tular di laman sosial selain terdapat gambar lelaki berkenaan yang memakai pakaian uniform pasukan polis.

Dalam kejadian pada 26 November lalu , 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

“Polis kini sedang mengawal dan memperketat kawalan keselamatan di sekitar kuil dan kawasan berhampiran,” katanya.

– SINAR HARIAN 

One thought on “Rusuhan kuil: Polis nafi anggota terlibat

Leave a Reply

Your email address will not be published.