PASIR MAS – Rasuah berbentuk wang tunai RM10,000 yang ditawarkan dua tokan ketum dalam satu serbuan semalam gagal ‘membeli’ intergriti pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah mendedahkan, rasuah itu ditawarkan selepas kegiatan pengedaran ketum yang dijalankan dua lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya berjaya dihidu pihak berkuasa selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kedondong pada pukul 6.45 petang semalam.
“Ketika pegawai PGA itu mahu membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut telah datang seorang lelaki berusia 32 tahun dengan membawa sejumlah wang.
“Wang tersebut kemudian telah diserahkan kepada rakannya berusia 31 tahun. Suspek itu kemudian mencuba nasib dengan menawarkan sogokan berjumlah RM10,000 dengan harapan supaya kesemua yang terlibat dibebaskan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Komander PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho.
Abdullah memberitahu, percubaan itu gagal apabila pegawai PGA tersebut tidak ‘gelap mata’ lalu menolak rasuah berkenaan.
Katanya, kes tersebut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Sumber – Kosmo! ONLINE