Rasuah: Konstabel dihukum penjara sehari, denda RM20,000

IPOH: Seorang anggota polis dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM4,000 tahun lalu.

Hakim Rihaida Rafie turut memerintahkan tertuduh Konstabel Mohd Azrol Azreen Abu Hasan, 27, yang bertugas di Batalion 2, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh mengaku bersalah menerima secara rasuah suapan iaitu wang tunai RM4,000 daripada Lam Naing Hung, di Jalan Persiaran Meru Raya 5, Meru Raya, di sini pada jam 2.40 petang 31 Ogos 2014.

Suapan terbabit adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tiga warga Myanmar kerana tidak mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hakim Rihaida Rafie menjatuhkan hukuman terbabit selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh serta rayuannya yang meminta meringankan hukuman kerana perlu menanggung dua isteri yang kedua-duanya sedang sarat mengandung ketika ini.

Mohd Azrol Azreen diwakili peguambela Mohamad Hafiz Jalaludin, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Afifah Yusof.

Leave a Reply

Your email address will not be published.