Rampas dadah RM300,000 . Syabas PDRM !

GEORGETOWN: Suami isteri antara lima pengedar dadah yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di negeri ini.

Dalam dua serbuan itu, polis merampas dadah bernilai hampir RM300,000 daripada sindiket terbabit yang beroperasi sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Dalam serbuan pada 12.45 tengah malam 10 Jun lalu di Jelutong, di sini, polis menahan seorang lelaki di sebuah flat dan merampas 1400 erimin 5 serta ketamin seberat 52.66 gram bernilai RM26,260.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, susulan itu polis menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan merampas 1000 erimin 5 dan 200 pil ekstasi bernilai RM21,000.

Menurutnya, polis juga menyerbu sebuah rumah di Ayer Itam Jumaat lalu dan menahan tiga lagi suspek termasuk pasangan suami isteri.

“Dalam serbuan ini, kita berjaya merampas heroin seberat 18.62 kilogram yang bernilai RM249, 500.
“Kita turut menyita sebuah motosikal dan sebuah kereta bernilai RM71,600,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Semua suspek berusia 36 hingga 47 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– Berita Harian – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.