Rampas 2,474 karton rokok seludup dalam banglo

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 2,474 karton rokok seludup pelbagai jenama menerusi serbuan di banglo di Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, 10 malam Ahad lalu.

Serbuan Op Kontraban dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut membawa kepada penahanan lelaki 30-an.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.


Katanya, polis turut menemui puluhan kotak yang disimpan di sebuah bilik.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat rokok seludup pelbagai jenama.

“Kesemua rampasan membabitkan 2,474 karton rokok dengan nilai keseluruhan sebanyak RM277,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bekalan rokok terbabit dibawa masuk melalui jalan laut, untuk pasaran tempatan.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok sejak Mac tahun ini.

“Suspek kini direman empat hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

– Harian Metro –


(Visited 158 times, 1 visits today)