Rakyat Terengganu ‘mengamuk’ MB bercuti ke luar negara ketika banjir

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu melahirkan kekecewaan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dipercayai sedang bercuti di luar negara ketika negeri ini dilanda bencana banjir besar.

Setiausaha Kelab Sahabat Ma’ruuf Terengganu (KSMT), Imran Azmi berkata, semua pemimpin sepatutnya kekal berada di dalam negeri sepanjang musim tengkujuh kerana sudah menjadi kelaziman, banjir akan berlaku pada waktu tersebut.

“Ketiadaan mana-mana pemimpin apatah lagi seorang Menteri Besar ketika rakyat sedang berada dalam keadaan huru hara akibat banjir terburuk tidak sepatutnya berlaku.

“Walau apa juga alasan beliau tidak turun ke lokasi untuk bertemu empat mata dengan mangsa banjir, penjelasan perlu dilihat supaya tidak menimbulkan fitnah atau prasangka di kalangan rakyat negeri sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Samsuri kali terakhir dilihat berada di Terengganu ialah ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20 pada 11 Disember lalu.

Sehari sebelum itu, beliau sempat meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Chendering dan Atas Tol di sini serta Tok Jembal di Kuala Nerus.

Ketika ini, terdapat dakwaan mengatakan ketiadaan Adun Rhu Rendang itu di Terengganu kerana beliau sedang bercuti di Auckland, News Zealand bersama isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman berdasarkan tiket kapal yang terbang di media sosial sejak semalam.

Setiausaha Kerja Pertubuhan NGO Permata Kasih, Syamsul Anuar Mahmud pula berkata, percutian pada musim tengkujuh bukanlah pilihan terbaik untuk mana-mana pemimpin politik kerana keutamaan perlu diberi kepada rakyat yang ditimpa kesusahan ketika banjir berlaku.

“Percutian bersama keluarga misalnya boleh sahaja dibuat pada musim cuti persekolahan selain dari musim Monsun Timur Laut yang diketahui akan menyebabkan banjir buruk di negara ini dan Pantai Timur khususnya.

“Jika hendak bercuti pun, dalam Malaysia masih dikira munasabah agar mudah pulang ke kawasan sekiranya berlaku bencana banjir seteruk ini, hingga mangsa mencecah 40,000 orang sudah pasti rakyat akan mula mempersoalkan kredibiliti seorang pemimpin yang sepatutnya berada bersama mereka namun ‘hilang’ entah ke mana.

“Sekurang-kurangnya nyatakan keberadaan semasa atau apakah halangan yang menyebabkan beliau tidak dapat turun padang ke lokasi, rakyat pasti akan memahami jika perkara tersebut benar berlaku,” katanya.

Sementara itu, aktivis politik, Abdul Rahim Hilmi Zakariya pula berkata, sepatutnya Menteri Besar pulang segera ke Terengganu kerana tiada keperluan untuk meneruskan cuti ketika bencana sedang berlaku di semua lapan daerah negeri itu.

“Pemimpin mesti merasai denyut hati dan kesusahan rakyat. Walaupun mungkin dia boleh mengkoordinasi operasi bencana secara maya, tetapi dia takkan dapat menyentuh hati rakyat, menaikkan semangat dan membuat keputusan dengan tepat seperti mana ketika berada dalam kawasan bencana.

“Kita ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pemimpin-pemimpin lain yang kekal komited turun padang dan membantu rakyat ketika bencana,” katanya. – UTUSAN

(Visited 304 times, 1 visits today)