Hibah TH Jatuh,Rafizi dedah keluarkan RM530,000 dari Akaun

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli meneruskan tradisi tahunan mengisytiharkan hartanya dan mendedahkan bahawa jumlah aset bersihnya menurun lebih RM600,000 sejak kali terakhir perisytiharan dibuatnya pada tahun 2015.

Jumlah aset bersihnya pada tahun 2015 adalah RM1,564,407 yang turun kepada RM953,021 tahun ini, katanya.

Beliau membuat perisytiharan aset itu pada sidang media di pejabatnya di NGO Invoke Space di Kuala Lumpur.

 

Penyumbang terbesar penurunan ketara ini, katanya, apabila beliau megeluarkan sebahagian besar wang dari akaun Lembaga Tabung Haji, yang dilakukan secara berperingkat mulai April tahun ini.

Beliau sebelum ini menyimpan RM70,000 dalam akaun Tabung Haji antara bulan Oktober tahun lalu dan Januari tahun ini, tetapi berkata, selepas meneliti kewangan Tabung Haji pada Februari lalu, dirinya membuat keputusan untuk mengeluarkan balik sebahagian besar wang itu.

“(Saya tidak dedahkan pengeluaran lebih awal kerana) ini boleh mencetuskan keadaan panik jika saya kata saya akan keluarkan setengah juta (daripada Tabung Haji),” katanya.

Sepanjang tempoh April hingga September tahun ini, beliau mengeluarkan sejumlah RM530,000 dari akaun Tabung Haji.

Dari jumlah itu, RM500,000 digunakan untuk menubuh dan membiayai NGO barunya, Invoke, manakala RM30,000 lagi digunakan untuk membayar sebahagian daripada kos pengubahsuaian rumah, katanya.

Berita Asal MalaysiaKini – 30 Nov 2016