SEREMBAN: Polis menerima 11 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sepanjang tempoh 30 hingga 31 Mac lalu.
Jurucakap media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK DUN Rantau, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin, berkata pihaknya kini sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya selepas menerima laporan berhubung kegiatan berkempen tanpa permit sah.
Katanya, pihak polis juga akan mengambil tindakan siasatan terhadap laporan lain yang diterima.
“Laporan lain yang diterima termasuk kehilangan kad SPR oleh petugas media serta pemantauan berkaitan keselamatan.
“Selain itu, kami menerima 15 permohonan permit daripada pihak yang akan bertanding untuk mengadakan ceramah umum serta kegiatan berkempen dan semua permohonan itu sudah diluluskan.
“Permohonan ini bertujuan untuk pemantauan dan kawalan lalu lintas. Kami menasihatkan pihak yang ingin mengadakan kempen bergerak menggunakan kenderaan membuat permohonan kepada pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata lebih 1,000 anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Rantau.
“Setakat ini, tahap keselamatan adalah dalam keadaan terkawal. Kami akan memantau setiap kegiatan dari semasa ke semasa dalam tempoh 24 jam.
“Kami juga menasihatkan supaya wakil parti politik untuk menjaga keharmonian dan tidak menimbulkan sebarang kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
– BERITA HARIAN –