POLIS TEMBAK MATI SELEPAS DISERANG DENGAN PARANG

RAWANG: Dua suspek kes samun dan pecah rumah menyerang anggota polis dengan parang sebelum ditembak mati di kawasan Taman Templer di sini, jam 4.30 pagi tadi.

Kedua-dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu dikenal pasti sebagai rakan subahat seorang lagi suspek yang juga ditembak mati di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata hasil maklumat diterima dan risikan dilakukan, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, melakukan Operasi Kesan (Op Kesan) bermula jam 1.30 pagi tadi.

“Kami membuat serbuan di sebuah tapak berhampiran lokasi dua warga asing itu bersembunyi sebelum menyerbu sebuah khemah di dalam hutan berhampiran kira-kira jam 4 pagi.

“Kedua-dua suspek diminta menyerah diri, namun mereka bertindak menyerang anggota polis dengan parang.

“Sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Yang turut dihadir, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad.
Mazlan berkata, pemeriksaan mendapati tiada pasport ditemui pada kedua-dua suspek terbabit.
“Kami percaya suspek menggunakan khemah terbabit sebagai lokasi persembunyian sejak lebih tiga bulan lalu,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan samun sejak 2016 hingga kini membabitkan kerugian sebanyak RM360,000 yang disyaki didalangi suspek berkenaan.

“Dalam kejadian terbaru, mereka dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Templer Saujana di sini, dua hari lalu. Kami menemui jam tangan berjenama dan telefon bimbit di lokasi kejadian disyaki hasil kegiatan itu.

“Kami percaya berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dan samun yang aktif di Rawang, terutama sekitar kawasan Taman Templer.

“Polis percaya tiada lagi suspek diburu daripada kumpulan ini. Kami juga akan melakukan risikan bagi mengenal pasti kumpulan pecah rumah dan samun lain di kawasan ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam pada itu, Mazlan turut memberi amaran kepada mereka yang membeli barangan hasil kegiatan samun dan pecah rumah daripada penjenayah.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini menggalakkan penjenayah melakukan kegiatan itu. Justeru, kami akan mengenal pasti lokasi penjenayah ‘melupuskan’ barang hasil kegiatan terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan jangan membeli barangan tidak diketahui sumber ia diperoleh kerana tindakan itu akan menyebabkan mereka dalam bahaya,” katanya.

– Berita Harian –

Leave a Reply

Your email address will not be published.