Polis tahan seorang lagi individu didakwa hina Islam, nabi

Polis hari ini menahan seorang lagi individu yang didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata individu berusia 43 tahun yang ditahan merupakan pemilik akaun Twitter @ALVINCHOW333.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain).

“(Siasatan juga di bawah) Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya dalam kenyataan.

Fuzi berkata polis akan membuat permohonan reman terhadap individu itu esok.

Semalam Fuzi berkata polis telah menahan tiga individu untuk kes yang sama dan sedang memburu pemilik akaun Twitter itu yang dipercayai berada di lembah Klang.

Beliau juga berkata pihaknya menerima 929 laporan polis dan telah membuka 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.

Sumber – MalaysiaKini

(Visited 43 times, 1 visits today)