Polis siasat majlis kahwin pasangan selebriti langgar SOP

BENTONG – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan klip video berdurasi 41 saat membabitkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan polis, majlis membabitkan pasangan selebriti tersebut berlangsung pada 15 Disember kira-kira jam 8.30 malam di sebuah villa di Genting Highlands di sini.


Menurutnya, menerusi klip video itu mendapati tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Keadaan tersebut dilihat telah melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pihak polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis tersebut

“Kes disiasat di bawah Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

– SINAR HARIAN –


(Visited 1,284 times, 1 visits today)