NIBONG TEBAL – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai kerjasama UMNO dan Pas yang didakwa berunsur hasutan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini.
Katanya, polis telah menerima sebanyak 58 laporan polis yang dibuat terhadap Guan Eng berhubung perkara itu dan siasatan akan dibuat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.
“Sekiranya perlu, kita akan memanggil beliau (Guan Eng) untuk mengambil keterangannya bila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, di sini.
Beliau turut menafikan polis lambat mengambil tindakan berhubung perkara itu selepas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan itu didakwa membuat kenyataan berkenaan minggu lepas.
“Ia (dakwaan polis lambat bertindak) tidak tepat. Kita terus membuka kertas siasatan selepas menerima laporan polis minggu lalu,” katanya.
-Bernama