Polis selesai kes bunuh dalam 48 jam

SERDANG – Polis berjaya menyelesaikan kes penemuan mayat dalam plastik hitam yang dibuang di tepi sebuah kedai berhampiran Bandar Kinrara,Puchong, pada Isnin lalu susulan daripada gerakan besar-besaran yang dilancarkan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam tempoh 48 jam, pihaknya berjaya mengenal pasti suspek dipercayai terlibat dalam kes tersebut yang telah menyebabkan kematian kepada seorang warga Bangladesh berusia 30 tahun.

Beliau berkata, suspek dan mangsa merupakan rakan sekerja dan serumah malah kejadian itu juga dipercayai berpunca akibat perasaan tidak puas hati antara kedua-dua pihak.



“Pada Selasa (semalam), pasukan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga Bangladesh dan hasil siasatan, salah seorang daripada mereka mengaku membunuh mangsa semasa berada di Taman Lestari Perdana.

“Punca kejadian adalah dipercayai akibat perasaan tidak puas hati berkaitan hal kerja,” katanya ketika sidang media hari ini.

Isnin lalu, orang awam yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1 Bandar Kinrara, dikejutkan dengan penemuan mayat dalam plastik hitam yang dibuang di tepi sebuah
kedai dekat Bandar Kinrara, Puchong, di sini.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata, suspek kemudiannya bertindak untuk membungkus mangsa berkenaan dengan rapi sebelum menggunakan perkhidmatan Grab bagi membuangnya ke lokasi terlibat.



“Jarak dari rumah ke tempat pembuangan itu adalah sekitar 10 kilometer.

“Suspek menggunakan perkhidmatan Grab dan dia juga cuba mengaburi tindakan berkenaan dengan menyatakan kepada pemandu terlibat bahawa bungkusan itu adalah barangan lama yang ingin dibuang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismadi berkata, menerusi bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul dan berat.

Tambah beliau, siasatan lanjut juga telah dilaksanakan oleh pihaknya sebelum ini malah beberapa sampel darah turut diambil bagi melengkapkan proses berkenaan.

“Dan jika suspek didapati bersalah maka dia boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

-SINAR HARIAN-